OLEH TN. HJ. MD HASIDIN BIN HJ. ZAINI
TIMBALAN PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR
b.p PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera.
Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah
kurnia-Nya maka dapat kita berjumpa dalam majlis yang mempunyai makna yang
besar kepada kita. Kita sedia maklum bahawa, 19 Februari setiap tahun telah
diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Kebangsaan. Pengisytiharan ini dibuat pada
19 Februari 1983 oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Sambutan Hari Peringatan
Antidadah Kebangsaan ini adalah manifestasi komitmen kita semua untuk memberi
gambaran bahawa momentum kita masih laju untuk melaksanakan usaha-usaha
pencegahan dadah di peringkat sekolah.
Masalah dadah bukanlah satu perkara baharu. Dadah merupakan
satu kecelakaan yang amat besar dan boleh melumpuhkan kesejahteraan dalam
kehidupan ini. Dadah akan menghancurkan kesejahteraan hidup individu, keluarga,
masyarakat dan negara. Ia tidak mengenal kaum, agama, usia dan jantina.
Menyedari akan hakikat dan bahaya dadah, Kementerian
Pendidikan Malaysia
telah menetapkan matlamat diperingkat sekolah iaitu Sekolah Bebas Dadah dengan
tema pada tahun ini iaitu ’Gaya Hidup Sihat Amalan Kita’. Sehubungan dengan
itu, pelbagai strategi dan pendekatan pendidikan pencegahan dadah dirangka
untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah. Secara umumnya strategi pendidikan
pencegahan dadah di sekolah adalah berteraskan empat pendekatan iaitu
Kurikulum, Kokurikulum, Pembangunan Sahsiah dan Pengurusan Kepimpinan. Gerakan
membanteras dadah di peringkat sekolah perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan
bersepadu melibatkan semua warga sekolah, ahli dan pemimpin masyarakat setempat
serta semua agensi sekitar.
Melalui strategi kurikulum murid-murid diberi pengetahuan
dan kemahiran berkaitan bahaya dan kesan dadah semasa proses pengajaran dan
pembelajaran. Mesej bahaya dan kesan dadah ini boleh disampaikan ketika
perhimpunan mingguan, menerusi program 5 minit anti dadah, edaran bahan-bahan
bantu mengajar serta melalui latihan kerja yang terancang. Guru-guru juga boleh
membincangkan kesan dan bahaya dadah menerusi isi pendidikan dan topik-topik
yang diajar.
Melalui strategi kokurikulum, murid-murid perlu dilatih
melibatkan diri secara aktif dalam gerak kerja persatuan dan kelab, permainan
dan pasukan pakaian seragam. Latihan kemahiran dan pengetahuan perlu disusun
secara sistematik bertujuan membangunkan minda, meningkatkan kesedaran agar
dapat menghasilkan tindakan untuk hidup dalam suasana yang sihat dan ceria,
aktif dan harmoni. Secara amnya kita boleh mempromosikan cara hidup dan gaya hidup sihat melalui
kegiatan kokurikulum.
Pembangunan Sahsiah dan Jatidiri murid perlu
dipertingkatkan. Para guru dan murid
sewajarnya berusaha mengisi ruang pembentukan peribadi dan sahsiah melalui
pendidikan kerohanian, bimbingan dan kaunseling serta mematuhi peraturan dan
disiplin sekolah. Program-program peningkatan sahsiah dan jatidiri perlu
diperhebat dan dimantapkan. Konsep kepimpinan melalui teladan, “idola” dan
“karisma” harus dipraktikkan kerana ia akan dikuti, dipelajari dan diamalkan
oleh murid sehingga menjadi sebati dan kekal sebagai sebahagian daripada
perwatakan mereka.
Melalui strategi pengurusan dan kepimpinan pula diharap
dapat menggerakkan Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan peringkat sekolah,
bekerjasama dalam satu pasukan untuk meningkatkan kepakaran, pengalaman,
pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan masalah berkaitan dadah. Oleh
itu, pihak pentadbir sekolah harus bergerak lebih proaktif untuk menjalankan
program dan aktiviti. Persatuan ibu bapa dan guru, persatuan penduduk setempat
dan agensi-agensi sekitar perlu memainkan peranan secara aktif dalam merangka
dan melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah.
Perkembangan terkini senario kedudukan penagih dadah,
rampasan dadah, jumlah pesalah dadah dan kemunculan dadah jenis sintetik
seperti Amphetamin Types Stimulants menunjukkan bahawa gejala dadah di negara
kita terus berada pada tahap yang membimbangkan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti
Dadah Kebangsaan, golongan belia berumur di antara 19 hingga 39 tahun merupakan
golongan paling ramai dikesan mengambil dadah, tetapi sejak akhir-akhir ini
umur dikesan mula menagih sudah menurun kepada mereka yang berumur 13 tahun.
Selain mencuba dadah, mereka juga diekploitasi dalam pengedaran dadah secara
kecil-kecilan.
Mengikut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Kementerian
Keselamatan dalam negeri dan Jabatan Narkotik, PDRM, penghasilan dadah sintetik
tersebut lebih bahaya daripada dadah asli. Dadah sintetik boleh mendatangkan
kerosakan kekal kepada otak dan diri individu itu sendiri. Pengambilan syabu,
pil kuda, ecstacy dan sebagainya boleh menyebabkan pergantungan kekal kepada
dadah sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, semua warga pendidikan perlu memainkan
peranan masing-masing untuk memastikan sekolah bebas dadah. Bagi mencapai
hasrat dan tujuan ini, sekolah mestilah melahirkan murid-murid yang berfikir
dengan waras, membuat pilihan yang bijak untuk menghasilkan keputusan yang
tepat. Membuat penilaian, pemilihan dan keputusan yang bijak adalah satu
disiplin yang baik. Murid-murid perlu diasuh dan dididik merancang perkembangan
diri dan merancang kehidupan positif dengan mengambilkira pentingnya faktor
masa depan. Murid-murid perlu diasuh untuk menjana idea-idea baru, inovasi dan
kreatif yang dapat dimanfaatkan bersama bukannya menyerah minda untuk diisi
oleh anasir-anasir jahat yang boleh
menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.
Semua pihak perlu memainkan peranan berprinsipkan semangat
kolektif, bersungguh-sungguh dan menjalankan tanggungjawab memberi pendidikan
pencegahan dadah serta membentuk peribadi dan sahsiah terpuji murid-murid
sekolah. Semoga anak-anak didik kita akan terpelihara dan bebas dari dadah,
berpersonaliti unggul dan cemerlang.
Saya sedar bahawa tugas, peranan dan tanggungjawab memerangi
masalah dadah ini adalah amat berat dan mencabar. Walaubagaimanapun saya amat
yakin bahawa dengan semangat dan tekad yang tinggi, istiqamah dan keazaman yang
jitu, gerakan secara menyeluruh dan bersepadu kita boleh berjaya.
Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan terus mendokong usaha kerajaan untuk
menghapuskan gejala negatif ini. Strategi, pendekatan dan kaedah baru akan
dikenalpasti, diteliti, dikaji dan dipraktikkan untuk memastikan murid sifar
dadah dan sekolah bebas dadah.
Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertingkatkan
program dan aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di semua peringkat dengan
melibatkan semua agensi sesuai dengan tema “Gaya Hidup Sihat Amalan Kita” demi
merealisasikan sekolah bebas dadah.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah. Wassalammualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Yang benar,
t.t
................................................
(MD HASIDIN BIN HJ. ZAINI)
Timbalan Pengarah Pendidikan Johor
b.p Pengarah Pendidikan Johor
No comments:
Post a Comment