KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI
PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI
PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap
isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan
oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara
menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat
komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan
Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan
digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai
berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya
PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan.
Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah
menengah pada sesi persekolahan tahun
2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah
membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru
menyatakan bahawa mereka
dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke
dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa
pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini
yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang
ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil
langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah
proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan
kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk mendapatkan maklum balas dan membantu
dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.
Isu-isu pelaksanaan
PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan
kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.
Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP)
yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan
pernyataan evidens yang banyak.
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan
menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang
dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu
dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid
berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada
Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut
kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan
perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang
boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi
dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui
pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian
anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan
mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir
tahun sekolah.
LAMPIRAN 1 DAN 2
Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail
Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi
menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan
pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
LAMPIRAN 3
Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan
PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa
yang lama.
Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah
dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan
mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer
berpusat.
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi
SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan
pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini
bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan
dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan
ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam,
Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa
Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata
pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai
instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test),
projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan
memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan
peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak
Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan
melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi
oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu
markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan
pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan
(konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses
menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya
diterima.
LAMPIRAN 4
PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan
kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP),
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3,
kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi
memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan
minat mereka.
LAMPIRAN 5
Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat
dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan
taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada
pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah,
pentadbir dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat
melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya
guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain daripada itu, KPM
juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan
murid.
Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.
No comments:
Post a Comment