KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR
Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir
yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri
pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah
daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat
banjir.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan
mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk
pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan
bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi
negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi
negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM
dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh
negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru
sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu
dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad). Manakala bagi negeri-negeri lain
akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah
mengambilkira;
a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai
PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan
b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang
menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk
pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.
Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak
pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan
gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan
anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.
Terima kasih.
Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014
No comments:
Post a Comment